KUALA LUMPUR – Menjadikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri merupakan perjuangan pertama veteran DAP, Lim Kit Siang selepas bersara daripada politik.
Kit Siang yang tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, beliau akan meneruskan perjuangan untuk menjadikan Malaysia negara hebat sebelum ulang tahun ke-100 negara.
“Walaupun saya telah bersara daripada politik barisan hadapan selepas 57 tahun, saya akan meneruskan perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi.
“Bermula dengan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
“Saya berada di Pusat Konvensyen Ipoh pada Khamis malam kerana saya menyokong matlamat Pakatan Harapan untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia yang kesepuluh,” katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, cabaran terbesar dalam PRU15 adalah sama ada PH berjaya menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.
Katanya, usaha menjadikan Anwar sebagai perdana menteri sama sukar atau mungkin lebih sukar dengan usaha untuk menumbangkan hegemoni politik UMNO-BN pada PRU14.
Menurut Kit Siang, jika pengundi boleh melakukan keajaiban politik pada PRU14 maka mereka boleh melakukan satu lagi keajaiban dalam PRU15 yang akan berlangsung bulan depan.
Serentak itu beliau meminta pengundi dalam dan luar negara bersama-samanya dalam merealisasikan matlamat beliau untuk merealisasikan impian meletakkan Anwar sebagai perdana menteri.
“Saya menyeru para pengundi Malaysia, di dalam negara dan diaspora Malaysia di seluruh dunia, untuk bersatu hati dengan matlamat yang satu ini. Slogan baharu kita adalah Kita boleh!” kata Kit Siang.
Tambah beliau, PRU15 akan menentukan sama ada negara akan terus ke hadapan dengan aspirasi Impian Malaysia untuk Malaysia Baharu pada 9 Mei 2018 atau kembali kepada negara gagal dalam beberapa dekad akan datang.