Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hadir pada Majlis Perasmian Angkasapuri Kota Media di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu kepada penerima-penerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menjual peranti tersebut di pasaran.

Jelasnya, niat kerajaan dengan mengadakan program tersebut adalah untuk menolong pelajar-pelajar golongan B40 untuk mendapatkan peranti bagi memudahkan pembelajaran mereka di pusat pengajian tinggi.

“Dulu Menteri Komunikasi dan Komunikasi menyatakan kebimbangan inilah (isu jual peranti), dulu kita kata pinjam selepas tamat belajar pulang balik, tentulah mereka tak jual sebab pinjam.

“Tapi bila kita bagi terus tujuan kerajaan baik maknanya hak dia, niat kita baik untuk memudahkan mereka belajar,” katanya kepada media selepas merasmikan Media City Angkasapuri di Angkasapuri hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum membuat sebarang perbincangan untuk menyenaraihitam pelajar yang bertindak menjual peranti itu.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

“Perkara itu mungkin mereka akan tengok, bagi saya, tolonglah saya merayu kepada pelajar yang dapat peranti siswa, tujuan kerajaan nak bantu.

“Jadi janganlah mencari keuntungan jangka pendek dengan menjual kerana jangka panjang lebih penting bagi mereka guna peranti untuk memudahkan pelajaran mereka,” kataya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual tablet Samsung Tab A8 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada harga RM900.

Difahamkan, pelajar terbabit mahu menukar gajet itu kepada iPad tetapi tindakannya dikecam warganet.

Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 14 kes berkaitan penjualan PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diberikan secara percuma kepada mahasiswa oleh kerajaan dikesan di seluruh negara. – MalaysiaGazette