BERLIN – Mercedes telah menjadi syarikat Barat terbaharu yang menarik diri dari Rusia susulan pencerobohan Ukraine sejak Februari lalu.
Firma yang berpangkalan di Jerman itu menghentikan pembuatan dan eksport ke negara itu pada awal Mac.
Namun, syarikat itu akan keluar daripada pasaran Rusia dan menjual saham dan anak syarikatnya kepada pelabur tempatan.
Menurut agensi berita RIA Novosti, Mercedes merancang untuk menjual aset-asetnya kepada pengedar kereta, Avtodom,
Avtodom pula dilaporkan akan mula mengeluarkan kereta China.
Awal bulan ini, Nissan mengikuti jejak Toyota dan Renault meninggalkan Rusia.
Nissan menanggung kerugian sebanyak AS$700 juta apabila menyerahkan perniagaannya kepada entiti milik kerajaan dengan bayaran nominal, dilaporkan kurang daripada £1.
Tetapi Harald Wilhelm, Ketua Pegawai Kewangan Mercedes berkata, perpindahannya keluar dari Rusia tidak dijangka mempunyai sebarang kesan baharu yang serius terhadap keuntungan syarikat.
Keputusan itu dibuat selepas banyak syarikat Barat menarik diri dari Rusia pada awal tahun ini, termasuk Starbucks, McDonald’s dan Coca-Cola.
Firma kereta lain, termasuk Jaguar Land Rover, General Motors, Aston Martin dan Rolls-Royce, semuanya menghentikan penghantaran ke negara itu pada bulan awal perang.
Persatuan Perniagaan Eropah (AEB) berkata, hanya 9,558 kenderaan Mercedes dijual di Rusia dari Januari hingga September, turun 72.8% daripada tahun sebelumnya. – Agensi