KUALA LUMPUR – Walaupun kini negara bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) bulan depan, namun rata-rata masyarakat khasnya di Sabah, Sarawak masih lagi gusar dengan beberapa siri pencerobohan di perairan Laut China Selatan.
Lantaran itu, kerajaan perlu terus meningkatkan keupayaan pertahanan dengan memodernisasi aset ketenteraan sebagai langkah memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara di perairan itu khususnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharram melahirkan rasa bimbang dengan aset-aset kententeraan sedia ada yang didakwa sudah terlalu lama dan tidak mampu memenuhi keupayaan bagi menghadapi ancaman ketenteraan moden.
“Isu berkaitan pencerobohan di Laut China Selatan ini bukan sesuatu yang baharu, ramai juga tampil bersuara tetapi kita belum dapat selesaikannya.
“Siri pencerobohan tentera China di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan menjadi isyarat Malaysia perlu tingkatkan keupayaan aset ketenteraan sebagai langkah memperkukuh dan melindungi kedaulatan negara.
“Pelbagai ancaman terkini berlaku mutakhir ini sebagaimana banyak dilaporkan media tempatan antaranya pencerobohan berterusan China di Laut China Selatan dan penemuan serpihan roket di Sarawak. Ini juga termasuk risiko ancaman berterusan ekoran pencerobohan ruang udara Malaysia Timur oleh jet pejuang China.
“Saya mohon tumpuan serta bajet diberikan bagi meningkatkan keupayaan aset ketenteraan kita untuk memastikan kepentingan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan terpelihara,” katanya kepada MalaysiaGazette
Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berpandangan Malaysia harus mengambil langkah persediaan lebih rapi ekoran krisis geopolitik kian memuncak seperti perang Russia-Ukraine serta yang bakal berlaku di antara China dan Taiwan.
“Ini penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekali gus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.
“Ingin saya tegaskan ini adalah pandangan peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara ini keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan aspek ini terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette