ALOR GAJAH – Barisan Nasional (BN) Melaka menafikan senarai nama calon parti itu bagi semua enam kerusi Parlimen seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dalam suhu politik sekarang, pelbagai spekulasi akan berlegar di media sosial namun ia belum disahkan sehingga diputuskan pucuk pimpinan parti.
“Itu adalah satu spekulasi, mungkin betul, mungkin tak betul tetapi saya bagi pihak badan perhubungan (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka) tidak mengesahkan bahawa itu adalah calon-calon yang diputuskan.
“Ini kerana belum ada lagi keputusan rasmi daripada pihak ibu pejabat dan saya akan mengikut apa juga keputusan mereka yang akan diputuskan dalam sikit masa lagi,” katanya di sini hari ini.
Sejak semalam, tular di aplikasi WhatsApp senarai nama enam calon Parlimen termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi calon Parlimen Masjid Tanah.
Turut disebut adalah Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Parlimen Tangga Batu), Pengerusi MCA negeri, Datuk Lim Ban Hong (Alor Gajah), Corny Chew (Kota Melaka).
Senarai lain adalah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bagi Parlimen Hang Tuah Jaya dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan bagi kerusi Parlimen Jasin.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, BN negeri telah menghantar lebih 30 nama calon untuk pertimbangkan ibu pejabat termasuklah ada sebahagiannya dalam kalangan senarai yang ditularkan itu.
“Nama itu ada yang termasuk ada yang tak termasuk (dihantar),” katanya.
Sementara itu Sulaiman ketika ditemui mengakui terkejut dengan penularan senarai itu dan meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi sehingga parti membuat pengumuman rasmi.
“Saya calon Masjid Tanah? Yang tular itu jangan percaya, kalau datang dari orang yang parti sendiri boleh percaya. Pengumuman calon akan buat minggu hadapan oleh Presiden UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette