Noraini Ahmad

KOTA BHARU – Seramai 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) di Kelantan telah diluluskan setakat Rabu (26 Okt), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, jumlah tersebut mewakili 71 peratus daripada 20,080 permohonan pelajar daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang diterima di Kelantan.

“Pengagihan PerantiSiswa di IPT kini sedang giat dijalankan bagi permohonan yang telah diluluskan.

“Saya telah meminta supaya proses kelulusan dan pengagihan ini dibuat pada kadar sesegera yang mungkin kerana tidak mahu anak-anak menunggu lama untuk mendapatkan peranti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program KPT Prihatin dan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Noraini menyerahkan PerantiSiswa kepada 40 penerima yang mewakili pelajar-pelajar dari Universiti Awam dan IPTS Kelantan.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Naib Canselor UMK Prof Dr Razli Che Razak. – BERNAMA