Nazren Nasha

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi akan memastikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika bekas Menteri Besar Johor itu bertanding di kerusi kawasan itu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Nazren Nasha berkata, pihaknya mengalu-alukan Khaled sebagai calon dan sebagai orang parti dan orang muda, sudah tentu kehadiran Naib Presiden UMNO sebagai calon di Kota Tinggi merupakan satu titik permulaan yang positif bagi pengundi di Kota Tinggi.

”Rekod pentadbiran cemerlang beliau sebagai Menteri Besar suatu ketika dahulu amat diperlukan bagi membangunkan lagi daerah bersejarah ini. Rekod beliau telah terbukti apabila Johor mencatatkan nilai pelaburan tertinggi lima tahun berturut-turut serta mencapai nilai purata Keluaran Dalam Negara Kasar melepasi nilai purata nasional.

“Sudah tentu pencapaian cemerlang itu akan menjadi faktor mengapa Kota Tinggi memerlukan seorang calon yang benar-benar kompeten bagi mengembalikan Kota Tinggi ke landasan pembangunan yang lebih pantas dan mapan.

“Jika khabar angin itu benar, jentera BN Kota Tinggi akan memastikan kemenangan calon tersebut kerana ia bakal membuka lembaran baharu yang lebih baik buat penduduk di daerah tersebut,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sebelum ini spekulasi kuat menyatakan bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi selepas beliau tewas dalam PRU14 lalu kepada calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim.

Khaled telah mengesahkan beliau tersenarai antara lima nama yang diserahkan kepada pucuk pimpinan parti sebagai calon Parlimen Pasir Gudang PRU November ini.

Pada PRU14, Mohamed Khaled yang ketika itu Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, tewas dalam saingan empat penjuru di Parlimen Pasir Gudang setelah dimenangi Hassan daripada PKR dengan majoriti 24,726 undi.

Khaled juga gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, yang dimenangi Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh daripada PKR dengan majoriti undi 8,746.- MalaysiaGazette

Mugshot:Nazren