Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Pusat, Ashraf Mustaqim berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Klang di Bilik Gerakan Utama PN Klang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OKTOBER 2022.

KLANG – Pengundi di kawasan Parlimen Tambun, Perak harus menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengesahkan akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, Presiden PKR itu tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson kerana beliau gagal sepenuhnya sepanjang menjadi wakil rakyat.

“Rakyat Port Dickson telah menolaknya, sebab itu dalam PRU15 beliau lari ke Tambun untuk bertanding.

“Beliau balik ke kawasan pun bukan berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya berjogging di tepi pantai,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Klang dan sambutan Deepavali di Bilik Gerakan Utama PN Klang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, bakal calon PN bagi kerusi Parlimen Klang, Dr. Jaya Chandran Perumal.

Menurut Mohd Ashraf, sepanjang 22 bulan PH mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN), mereka gagal sepenuhnya untuk meletakkan negara dalam keadaan stabil.

Katanya, walaupun bukan Anwar perdana menteri ketika itu, tetapi sebagai Ahli Parlimen dan juga Pengerusi PH, beliau mempunyai peluang serta ruang untuk menegur Tun Dr. Mahathir Mohamad agar memberi perhatian menjaga kebajikan rakyat.

Dalam ucapannya juga, beliau menekankan jentera penerangan PN di peringkat pusat akan membawa slogan Perikatan Best yang memberi makna Prihatin, Bersih dan Stabil.

Jelas beliau, slogan Perikatan Best akan disemat dalam ingatan setiap rakyat supaya mereka tidak keliru atau was-was memilih calon PN pada hari mengundi 19 November ini. – Malaysiagazette