Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Dua lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah stor simpanan makanan berjaya diberkas polis.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu ditangkap di Kampung Ampang Campuran di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa kejadian jam lebih kurang 3 pagi itu, seorang wanita suri rumah terdengar bunyi bising di rumah jirannya ketika suspek sedang menendang gril di stor berkenaan.

“Wanita itu kemudian mengintai menerusi tingkap rumahnya sebelum mendapati dua lelaki telah memecah masuk setor tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya telah berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun itu pada jam 6 pagi.

Katanya, kedua-dua suspek itu yang juga jiran kepada pengadu berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek merupakan penganggur dan memecah masuk setor berkenaan untuk mencuri makanan.

“PolisĀ  berjaya merampas dua paket makanan iaitu sosej dan isi ketam dianggarkan bernilai RM30 daripada kedua-dua suspek,” katanya.

Salah seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari sehingga 4 November ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette