Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media mengenai pengumuman calon PRU15 di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 30 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat pertambahan 19 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, parti itu diberikan 54 kerusi untuk ditandingi berbanding 34 kerusi sahaja pada PRU14 lalu.

“(Sebanyak) 54 kerusi yang kita tanding di peringkat Parlimen atas tiket Pakatan Harapan.

“Pilihan Raya lepas Wilayah Persekutuan tidak ada kerusi tapi kali ini diberikan dua kerusi,” katanya.

Amanah mencalonkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad di Parlimen Titiwangsa dan Dr Ramli Tahir di Parlimen Labuan.

Beberapa pemimpin utama Amanah kekal bertanding di kerusi masing-masing pada PRU15.

Antaranya Presidennya, Mohamad Sabu yang diletakkan semula di kerusi Parlimen Kota Raja dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai, Naib Presidennya, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di Parlimen Parit Buntar dan Datuk Dzulkefly Ahmad di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin parti itu digugurkan daripada bertanding antaranya Hanipa Maidin di Sepang dan penyandang Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Mohd Tahir, Datuk Dr Hasan Baharom di Parlimen Tampin, serta Datuk Hasanuddin Mohd Yunus di Hulu Langat.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Amanah tidak mencalonkan penyandang-penyandang di kerusi berkenaan dengan alasan untuk memberikan laluan kepada calon muka baharu.

“Itu proses yang kita telah jalankan melalui Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Parti maka ada yang tidak bertanding lagi untuk memberikan laluan kepada muka baharu yang kita rasakan penting untuk diberikan peluang pada kali ini.

Dalam pada itu Khalid berkata, perkara itu tidak menggambarkan mereka tidak menunjukkan berprestasi dengan dan beliau menolak dakwaan calon mengalami masalah kesihatan.

“Ianya hanya satu proses peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku di Amanah di mana kita inginkan muka baru diberikan peluang,” katanya dalam sidang media sama.

Hanipa ditukarkan dengan Raj Munni Aiman Atirah, sementara Anuar digantikan dengan Mohd Hasbie Muda, sementara anak kepada bekas Presiden Pas, Datuk Seri Fadzil Noor, Muhammad Faiz diberikan Parlimen Tampin bagi menggantikan Hasan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Temple, Mohd Sany Hamzah akan bertanding di Parlimen Hulu Langat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau nak beri laluan kepada muka baharu patutnya Mat Sabu tu tak dicalonkan…muka dia baru juga kaa? haaa

Comments are closed.