Phahrolrazi (dua dari kiri) pada sidang media di Pejabat Amanah Parlimen Jerai di Guar Chempedak, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Bekas Pengerusi Parti Amanah Negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengakui terkejut dengan keputusan pimpinan parti memecatnya.

Ketua pembangkang Kedah itu turut memaklumkan tiada rasa terkilan timbul atas pemecatan itu susulan tindakannya hanya untuk mempertahankan Parlimen Jerai yang sepatutnya ditandingi Amanah berbanding DAP.

Jelas beliau, pihaknya berpendapat adalah tidak wajar menjadikan Parlimen Jerai sebagai kawasan percubaan mempertaruhkan calon DAP kerana majoriti pengundinya terdiri daripada bangsa Melayu.

“Berdasarkan rundingan antara kita dengan PKR sebelum ini, sembilan kerusi akan ditandingi mereka manakala enam lagi milik Amanah.

“Bagaimanapun, DAP menuntut dua kerusi iaitu Parlimen Baling dan Jerai dengan dakwaan dalam parti mereka ada calon Melayu.

“Sedangkan dalam konteks negeri Kedah dua-dua parti komponen (PKR-Amanah) mengambil pendirian DAP akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri saja. Ini kerana 75 peratus pengundi di sini Melayu,” katanya pada sidang media di Guar Chempedak, hari ini.

Mengulas lanjut Phahrolrazi berkata, sentimen kaum terhadap DAP masih ada terhadap segelintir pengundi di negeri ini dan ia secara langsung akan menjejaskan kerusi-kerusi lain yang ditandingi PH Kedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu turut mendakwa, pencalonan DAP di Jerai juga menjejaskan prestasi Amanah yang dilabelkan kuda tunggangan serta barua DAP.

“Pendirian kita bukan tidak suka DAP, tapi dalam politik sikap pengundi kita kena ambil kira.

“Amanah Kedah turut berpendapat memberi Jerai kepada DAP akan memberi bola tanggung kepada Pas dan UMNO untuk memainkan sentimen penolakan majoriti pengundi Melayu kepada DAP yang kesannya akan dirasai calon-calon PH lain terutamanya Amanah,” ujar beliau.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara memecat keahlian Phalrolrazi berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b) kerana Phalrolrazi didapati telah melanggar Perlembagaan parti. – MalaysiaGazette