Dr. Abd Latiff Ahmad

PETALING JAYA – Penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya tidak mahu bertanding pada PRU15 dan tidak akan mempertahankan kerusi Mersing,” katanya pada satu majlis, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu berkata, punca beliau tidak mahu bertanding pada PRU15 adalah untuk memberikan laluan kepada calon muka baharu.

Jelasnya, beliau sudah menjadi Ahli Parlimen selama 27 tahun dan adalah menjadi tanggungjawabnya memberikan kerusi berkenaan kepada pelapis.

“Saya sudah enam penggal (jadi Ahli Parlimen), bagi orang baharu dan orang muda.

“Saya jadi Ahli Parlimen dahulu waktu saya muda, 27 tahun jadi Ahli Parlimen adalah tugas saya untuk beri kepada calon baru.

“Kita ada calon muka baru dan muda,” katanya lagi.

Latiff memenangi kerusi Mersing pada PRU14 dengan 19,806 undi menewaskan pencabar daripada Pas dan PKR.

Latiff ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette