Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd susut 37.3 peratus kepada RM50.13 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 berbanding RM79.94 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh hasil dagangan sekuriti yang lebih rendah.

Pengendali bursa itu berkata, hasil operasi segmen pasaran sekuriti merosot kepada RM100.4 juta daripada RM140.7 juta setahun sebelum ini sehingga menyebabkan keuntungan segmen itu jatuh 34.9 peratus dari tahun ke tahun kepada RM76.5 juta.

Ini menurunkan jumlah keuntungan segmen bagi suku tersebut sebanyak 26.0 peratus kepada RM94.6 juta daripada RM127.9 juta.

Jumlah perolehan juga menyusut kepada RM140.36 juta daripada RM173.98 juta, kata syarikat itu dalam pengumuman keputusan suku tahunan yang terbaharu.

Hasil dagangan jatuh 40.5 peratus dari tahun ke tahun kepada RM55.8 juta susulan purata nilai dagangan harian yang lebih rendah untuk dagangan di pasaran dan perdagangan perniagaan langsung, yang melemah sebanyak 42.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.75 bilion yang direkodkan bagi suku ketiga tahun kewangan 2022.

Sementara itu, halaju dagangan pada suku yang dikaji adalah menurun 16 mata peratusan pada 24 peratus berbanding 40 peratus yang dicatatkan semasa suku yang sama sebelumnya.

Untuk tempoh kewangan sembilan bulan, keuntungan bersih melemah sebanyak 38.8 peratus dari tahun ke tahun kepada RM177.57 juta dengan hasil adalah 24.0 peratus lebih rendah pada RM457.54 juta.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan segmen pasaran sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM203.0 juta, penurunan 43.6 peratus berbanding RM359.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas.

Halaju dagangan berkurangan 24 mata peratusan pada 30 peratus dalam tempoh berkenaanters.

“Mengenai penyenaraian baharu, dana yang dikumpulkan melalui tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh sembilan bulan mencecah RM2.8 bilion, lebih tinggi daripada RM2.3 bilion yang dikumpul semasa tempoh yang sama tahun sebelum ini,” katanya.

Jumlah hasil dagangan derivatif meningkat 11.5 peratus dari tahun ke tahun kepada RM73.4 juta selepas disumbangkan oleh pendapatan pengurusan cagaran yang lebih baik termasuk angka niaga hadapan minyak sawit mentah dan Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang lebih tinggi.

Purata kontrak harian menokok 2.2 peratus dengan 78,540 kontrak berbanding 76,836 kontrak yang direkodkan dalam tempoh padanan tahun lepas, katanya.

Bagi segmen pasaran Islam, aktiviti dagangan yang lebih tinggi di Bursa Suq Al-Sila menyaksikan lonjakan 17.3 peratus dalam hasil dagangan sehingga mencecah RM11.8 juta daripada RM10.1 juta sebelumnya.

Sementara itu, perniagaan data pasaran mencapai jumlah pendapatan sebanyak RM45.8 juta dalam tempoh sembilan bulan, naik 15.9 peratus berbanding RM39.5 juta sebelum ini selepas dipacu oleh jumlah pelanggan yang memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata peningkatan dalam prestasi pasaran derivatif serta data pasaran membantu menyumbang kepada angka keuntungan berikutan ketidaktentuan global dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi terus mencabar perniagaan pasaran sekuriti.

“Jumlah dagangan berhadapan dengan tekanan global yang kuat tetapi bursa terus terlibat secara aktif dengan peserta pasaran sedia ada selain masih berpotensi untuk menyerlahkan nilai dan daya tarikan pasaran,” katanya.

Bursa telah melancarkan beberapa inisiatif seperti Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam dan Skim Insentif Penyelidikan Bursa bagi menambah daya tarikan syarikat tersenarai sedia ada.

“Untuk menarik peserta derivatif domestik dan asing, inisiatif lain termasuk lanjutan sesi dagangan derivatif selepas waktu perniagaan (T+1) (dagangan malam),” katanya.

Muhamad Umar menegaskan usaha dalam memastikan pasaran modal Islam terus teguh serta kekal sebagai salah satu agenda utama bursa, sejajar dengan pelaburan mampan dan bertanggungjawab serta agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Bursa terus membangunkan produk patuh syariah baharu seperti Pasaran Karbon Sukarela patuh syariah dan Dinar Emas Bursa yang akan dilancarkan,” katanya. – BERNAMA