beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

IPOH – Pemecatan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai Pengerusi Amanah Kedah boleh dianggap sebagai husnul khotimah atau sebuah pengakhiran yang baik.

Ini kerana menurut Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, Phahrolrazi dikenakan tindakan kerana melawan parti DAP.

Ini kerana Ahmad mendakwa DAP merupakan sebuah parti politik yang berbahaya dan justeru itu Phahrolrazi mendapat husnul khotimah kerana perjuangannya.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat itu juga memberi semangat kepada Phahrolrazi untuk terus mempertahankan kebenaran.

“Saya doakan yang baik-baik untuk Datuk Phahrolrazi. Dipecat kerana membantah DAP, kira husnul khatimah juga tu. Kami sudah beritahu tahu awal lagi yang DAP itu sangat merbahaya.

“Semoga beliau terus pertahankan kebenaran dan ditetapkan pendirian,” kata Ahmad dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum itu, media melaporkan, Jawatankuasa Pengurusan Amanah memecat Phalrolrazi daripada jawatan Pengerusi Amanah Kedah dan juga sebagai ahli.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli menegaskan, tindakan itu diambil berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b) kerana Phalrolrazi didapati telah melanggar perlembagaan parti.

Terdahulu, media tempatan melaporkan barisan kepimpinan Amanah Kedah didakwa akan memboikot calon PH bagi Parlimen Jerai pada PRU15.

Situasi tersebut timbul susulan kegagalan Amanah mempertahankan kerusi Parlimen Jerai, apabila terpaksa memberi laluan kepada calon DAP.

Sementara itu Phalrolrazi berkata, tindakan beliau membantah keputusan meletakkan calon DAP bagi kerusi Parlimen Jerai bermatlamat menjaga kepentingan PH.

Ia juga bagi membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

Phahrolrazi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Alor Mengkudu merasakan bahawa tidak sesuai untuk DAP bertanding di kerusi majoriti Melayu terutama di Parlimen Jerai.

“Saya membantah keputusan untuk menjaga kepentingan PH kerana saya mahu PH memenangi pilihan raya umum supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10, ia tiada kaitan dengan saya menentang DAP,” katanya.

Menurut Phahrolrazi, tindakan meletakkan DAP di kerusi tersebut boleh menjadi peluang kepada pihak lawan yang menentang PH.-MalaysiaGazette