Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap pada sidang media semasa hadir ke perjumpaan bersama komuniti busker Kuala Lumpur di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 31 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO bahagian Perlis tidak akan menerima orang luar menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, terdapat desas desus orang luar akan bertanding merebut kerusi Parlimen Padang Besar.

“Jawatankuasa bahagian menyatakan bahawa kebanyakan bahagian Padang Besar tidak bersetuju dengan ‘payung terjun’ kerana kita nak berkhidmat di kawasan yang pernah kita tabur bakti dan terus bertanding dan menyambung perkhidmatan,” katanya yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Zahidi mungkin digugurkan daripada menjadi calon pada PRU15.

Zahidi merupakan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar merupakan Ahli Parlimen Padang Besar sejak PRU13.

Menurutnya, peluang untuk orang tempatan menang adalah lebih besar berbanding orang luar.

“Tetapi saya tak tahulah strategi ini di mana kalau ada orang yang lebih pandai berkata orang luar lagi mudah untuk menang.

“Saya ikut sahaja apa yang jawatankuasa bahagian putuskan kerana ikutkan perlembagaan berdasarkan jawatankuasa bahagian,” ujarnya yang mahu mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar.

Sementara itu, Zahidi meminta orang ramai tidak keliru dengan tugas Ahli Parlimen dalam membangunkan sesuatu kawasan kerana ia turut melibatkan kerajaan negeri dan Menteri Besar.

“Untuk buat perubahan kawasan, perlu mesyuarat dengan Majlis Kerajaan Negeri dan Menteri Besar kerana peruntukan kelulusan tanah dan pelaburan di negeri adalah kerja Menteri Besar bukan Ahli Parlimen.

“Kebanyakan kefahaman perlu diterangkan supaya pengundi tidak salah faham antara tugas Ahli Parlimen, Menteri Besar dan Exco,” ujarnya. – MalaysiaGazette