WAN ROSDY WAN ISMAIL

JERANTUT – Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengumumkan senarai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 70 peratus muka baharu dan calon muda akan ditampilkan dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 19 November ini.

“Pemilihan hampir muktamad menggabungkan yang lama dan baru. Kira-kira 60 hingga 70 peratus adalah yang baru,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurut Wan Rosdy, muka baru terdiri pemimpin-pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian yang diyakini berpotensi untuk menang dan mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing.

Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang itu berkata pihaknya sudah membuat pertimbangan yang tepat dan yakin dengan kewibaan calon berkenaan untuk berdepan dengan pembangkang pada PRU15 nanti bakal memberi persaingan yang sengit.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, kira-kira 75,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini yang pertama kali akan memangkah pada PRU15 nanti diyakini akan memihak kepada BN.

Tambahnya lagi, dari segi bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri pada sebelum ini, pihaknya juga tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan.

“Kita telah dekati pengundi muda sejak dulu lagi. Golongan ini harus didekati, mereka pun nak tahu kerajaan negeri buat untuk mereka.

“Meskipun belum capai 100 peratus, tapi hampir 60 peratus daripada mereka memihak kepada BN,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy akur dengan keputusan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yelah mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi itu.

Namun demikian, katanya, Ahmad Nazlan memberitahu akan turun padang membantu kempen BN dan memastikan calon baru bagi Parlimen Jerantut menang dalam PRU nanti.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast