Murid-murid SK Sekara, SK Bukit Bota dan SK Bukit Lada sewaktu berada di dewan SK Sekara

CHENOR  – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat
Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah menganjurkan Program
Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning membabitkan tiga buah sekolah
rendah di daerah Chenor, Pahang pada 15 dan 16 Oktober lalu sebagai inisiatif
untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris serta kemahiran dalam bidang
Sains.

Program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan
Sekara telah melibatkan penyertaan 200 orang murid tahap dua daripada tiga buah
sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Sekara, Sekolah Kebangsaan Bukit Lada dan
Sekolah Kebangsaan Bukit Bota.

Murid-murid SK Sekara, SK Bukit Bota dan SK Bukit Lada
menyelesaikan aktiviti yang disediakan.

Program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu ini diadakan bagi membantu
meningkatkan kualiti pendidikan serta kemahiran pelajar sekolah rendah yang
berkonsepkan “belajar sambil bermain” bagi menarik minat serta memberi
kesedaran kepada murid tentang kepentingan bidang sains dan keperluan
kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Dalam ucapan majlis perasmian penutup, Pengarah Pusat Kokurikulum dan
Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @Hussin mengingatkan
semua murid bahawa pelbagai aktiviti permainan dan simulasi yang telah
dilakssanakan boleh dijadikan platform untuk meningkatkan kemahiran berbahasa
Inggeris di samping membolehkan penciptaan inovasi dalam bidang sains.

Program ini berjaya dikendalikan dengan lancar melalui penglibatan barisan
fasilitator yang terdiri daripada 21 orang ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN)
UPM yang menzahirkan komitmen untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan
motto UPM, “Berilmu Berbakti”. – MalaysiaGazette