TANJUNG MALIM – Buat julung kalinya Pejabat Karang Mengarang (Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris) menganjurkan Pesta Buku bersempena Sambutan 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Muallim 2022.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Prof Madya Dr Rosmilah Misnan berkata, program bermula 31 Oktober hingga 3 November itu menghimpunkan lebih 30 pempamer dan memasarkan hampir 10,000 buku pelbagai bidang ini padat dengan pengisian menarik berkaitan buku dan aktiviti ilmiah seperti bicara buku, forum, resensi buku, pameran Festival of Ideas.
Perasmian dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Dalam ucapannya Saidi berkata, buku adalah jendela dunia yang ilmunya boleh mengubah dunia.
Namun, katanya, data menunjukkan budaya membaca dalam kalangan warga Malaysia masih rendah dengan hanya memperuntukkan kurang tiga jam seminggu berbanding masyarakat India, Taiwan dan China yang memperuntukkan lebih 8 hingga 10 jam seminggu.
Tambah beliau, penganjuran pesta buku yang menghimpunkan para pencinta buku, karyawan dan penerbit buku dari seluruh Malaysia ini sangat signifikan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menghayati pembelajaran sepanjang hayat seperti hasrat kementerian,” katanya pada majlis perasmian Pesta Buku Sempena Sambutan 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Muallim 2022 semalam.
Sempena pesta itu, UPSI turut melancarkan Buku Baharu terbitan UPSI, Pelancaran Kedai Buku dan Kedai Buku dalam Talian UPSI dan Pelancaran Kad UPSI Privilege. – MalaysiaGazette