Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bercakap kepada media selepas hadir ke Pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak ketika di Hotel Casuarina, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2022.

IPOH – Keputusan penceramah bebas Datuk Mohd. Kazim Elias menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut hanya diketahui pada pukul 1 pagi tadi.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui alasan Mohd. Kazim menarik diri selepas beliau bersetuju untuk menjadi calon dan menerima watikah.

“Saya tidak ada maklumat atau jawapan kenapa bertukar kerana Datuk Kazim telah bersetuju pada sebelah petang dan namanya telah diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan watikah disediakan

“Saya berada di pejabat UMNO pada pukul 1 pagi dan mendapat maklumat dia menarik diri. Itu sahaja yang saya tahu alasan mengapa kena tanya dia,” kata Saarani dalam sidang media hari ini.

Beliau ditemui selepas mengumumkan calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) BN Perak.

Sementara itu Menteri Besar Perak itu berkata, penganti Mohd. Kazim adalah orang muda Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud yang berusia 37 tahun.

Mohd. Shafiq merupakan tempatan dan mempunyai kerjaya sebagai jurutera pertoleum.

Calon muda itu juga mendapat sokongan daripada pengundi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Larut.

Saarani berkata, beliau yakin penganti Mohd. Kazim itu boleh merampas semula Parlimen Larut yang kini disandang oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Mempunyai kebolehan sebagai pengantara dan sebagainya. Kita lihat dia adalah calon muda yang boleh diketengahkan. Umur baru 37 jadi kenapa tidak kita letakkan dia di Larut. Dia boleh dianggap sebagai calon gergasi.

“Saya yakin dengan dia sebab dapat tindak balas daripada ketiga-tiga bilak gerakan DUN bahawa mereka akan berhabisan untuk memenangkan DUN tersebut dan sekaligus akan memenangkan beliau,” kata Saarani.

Nama Mohd. Kazim menjadi sebutan dalam media sosial sebaik sahaja diumumkan secara rasmi sebagai calon Parlimen Larut oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Pencalonan beliau dianggap sebagai satu kejutan. Parlimen Larut merupakan kerusi BN sebelum Hamzah keluar UMNO untuk menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.-MalaysiaGazette