BATU PAHAT – Selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ingin melihat institusi pengajian tinggi (IPT) menghidupkan semangat ‘Universiti untuk Rakyat’ (University for Society), penubuhan Pusat Pembelajaran UKM dilihat berperanan besar dalam memperkasakan keterlibatan antara masyarakat dan IPT.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penubuhan Pusat Pembelajaran UKM bakal membuka akses pendidikan yang lebih luas kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar bukan sahaja untuk melanjutkan pengajian dalam program-program akademik, tetapi juga kursus pendek berbentuk formal dan tidak formal bagi meningkatkan kemahiran.

“Universiti dengan komuniti ialah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan kerana banyak penyelidikan dan juga program yang dilaksanakan telah menyumbang kepada kemakmuran masyarakat.

“Tahniah kepada UKM yang telah merancang dengan rapi pelbagai jenis program untuk ditawarkan melalui Pusat Pembelajaran ini.

“Tidak terhad kepada program pengajian di tahap prasiswazah, siswazah dan kedoktoran, bahkan, pelbagai kursus kemahiran jangka masa pendek seperti sijil profesional dan microcredentials turut ditawarkan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Parit Sulong, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Ekhwan Toriman.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Ekhwan berkata, terdapat tiga kursus pendek yang ditawarkan di Pusat ini iaitu Kursus Asas Perakaunan bagi Peniagaan Kecil yang menyasarkan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana yang ingin membangunkan sistem simpan kira yang sistematik, penyediaan penyata untung-rugi serta kunci kira-kira bagi perniagaan mereka.

“Kursus yang kedua pula ialah Kursus Pendidik Abad Ke-21 yang akan disertai oleh golongan pendidik seperti guru, pensyarah matrikulasi, politeknik, kolej komuniti bagi mendedahkan mereka dengan kemahiran reka bentuk pengajaran (instructional design), pedagogi dan juga kaedah penilaian berasaskan pembelajaran abad ke-21.

“Kursus pendek yang ketiga pula ialah Kursus Penuaan dan Rehabilitasi Geriatrik (SP-PR), yang merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan kebolehpasaran pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan memfokuskan kepada perkara-perkara berkaitan penuaan, ini termasuklah bidang fisioterapi, terapi cara kerja, dietetik, audiologi dan terapi pertuturan. – MalaysiaGazette