Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Peluncuran Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan tidak akan wujudnya kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekaligus membentuk kerajaan baharu bersama.

Sambil menafikan dakwaan itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, prinsip dan dasar parti itu tegas untuk memimpin dan memerintah bukan seperti parti lain yang sanggup bermain banyak ‘kolam’ atau rundingan dengan mana-mana parti.

Justeru jelas beliau, sebarang gerakan yang dikaitkan dengan mana-mana gabungan selepas pilihan raya disifatkan sebagai satu hujah yang tidak berasas kerana PH bertanding pada PRU15 ini untuk menang.

“Kita umumkan secara jelas PH menawarkan dalam manifesto dan saya jelaskan dalam (buku) Madani apa yang kita jadikan wawasan dan hala tuju negara ini, kemudian kita berhasrat untuk menang serta semalam kita sebut sekurang-kurangnya majoriti mudah, maknanya supaya dapat memerintah.

“Jadi sebab apa kita mahu kaitkan dengan UMNO, Pas atau mana-mana parti lain.  Kita masuk pilihan raya untuk menang, kita merayu kepada rakyat untuk memberi laluan supaya apa yang disebut itu tidak berlaku.

“Saya bukan macam Ustaz (Abdul) Hadi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad runding nak pakat, dengan Datuk Seri Najib Razak runding nak pakat kemudian dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ismail Sabri pun runding nak pakat dan sekarang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dia (Abdul Hadi) boleh berlegar di banyak kolam, saya dasar kita PH adalah untuk memimpin dan memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan buku tulisannya yang bertajuk ‘Membangun Negara Madani’ di sebuah hotel di sini hari ini.

Malam tadi, media melaporkan, Presiden Pas dalam satu sidang media di Kedah dilapor mendedahkan, wujud satu muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU15 dengan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH.

Beliau berkata, strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 ini selain mendakwa objektif akhir adalah menyelamatkan pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Anwar  mengharapkan Abdul Hadi dapat memberikan sebarang pandangan dan kenyataan berdasarkan hujah dan fakta selepas ini.

Ujar beliau, ini kerana sebarang kecaman melulu tidak boleh diterima kerana ia disifatkan tidak mempunyai asas sama sekali.

“Ustaz (Abdul) Hadi ini pandangan dia, (bagi) saya tidak mewakili sosok yang sepatutnya ada. Seorang alim sepatutnya beri pandangan berdasarkan hujah dan fakta bukan kecaman melulu.

“Kita dalam politik ini hujah, bagi saya kita tegur Pas dengan hujah yang betul, judi bagaimana, (Rang Undang-Undang) 355 di mana, (jadi) tak payah singgung dari segi yang dibuat andaian begitu rupa dan andaian itu tak ada asas begitu sekali,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan tandatangan pada buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi milik tetamu yang hadir selepas menlancarkannya di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast