Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Majlis Sembang Santai Anak Muda di Bilik Gerakan PDM Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Calon kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berikrar akan menyelesaikan beberapa isu setempat di kawasan ituĀ  setelah lama tertangguh sekiranya diberikan semula mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, terdapat empat perkara utama yang menjadi keutamaan iaitu isu membabitkan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, nasib pemilik Flat PKNS Jalan Tun Razak, projek naik taraf Pasar Chow Kit dan status Pasar Datok Keramat.

“Saya nak pastikan bahawa 89% daripada penduduk Kampung Sungai Baru yang telah berpindah dan dijanjikan oleh pemaju akan mendapat unit mereka dalam masa yang ditetapkan. itu sahaja.

“Ini kerana mereka sebelum ini dengan sukarela nak pindah sebab pemaju janjikan akan bawa mereka semua ini balik ke sini semula tapi projek sehingga kini masih belum bermula, itu sahaja kita nak pastikan.

“Yang kedua, kita juga nak tengok bagaimana nasib 202 pemilik Flat PKNS Jalan Tun Razak yang sudah 14 tahun masih tidak dapat unit tersebut.

“Yang ketiga, saya nak tengok macam mana projek Pasar Chow Kit yang terbengkalai selama 10 tahun, akan dibangunkan semula dengan mencari kontraktor yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan berwibawa.

“Yang keempat adalah Pasar Keramat yang dijanjikan untuk dibangunkan dan sekarang sudah enam tahun DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dah jual tanah tetapi duit tak dapat sepenuhnya, baru 10 peratus sahaja dan pemaju tak bangunkan pun,” katanya.

Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bergambar kenangan dengan sebahagian pengundi muda yang hadir pada Majlis Sembang Santai Anak Muda di Bilik Gerakan PDM Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Anak Muda di Anjung Perpaduan Kampung Padang, Kampung Baru dan melawat Bilik Gerakan BN Kampung Baru Utara, di sini, malam tadi.

Sementara itu, ditanya mengenai gerak kerja bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang diberi mandat pada PRU14, Johari mendakwa penyandang kerusi ituĀ seperti tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan terbabit.

Namun, Johari yang juga anak jati Kuala Lumpur berkata, adalah tidak adil buat dirinya untuk menilai mengenai perkara berkenaan kerana hanya penduduk setempat yang lebih mengetahui.

“Saya rasa lebih baik tanya penduduk sendiri, biar mereka yang menilai sebab kita dalam sistem demokrasi ini setiap orang ada kuasa untuk mengundi. Satu orang satu undi. Kita kena menilai dan berfikir sebelum mengundi.

“Jangan undi dahulu baru nak nilai, fikirkan. Ini yang janji macam-macam kenapalah Kg Sungai Baru nak dijual dan sebagainya, dia tidak faham. Suruhlah mereka duduk di flat itu tengok macam mana keadaan dan apa rasanya.

“Yang datang dari luar (berkempen), dia duduk rumah banglo rumah teres, rumah semi-D, tak tahu macam mana perasaan orang flat duduk,” jelasnya.

Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) sempat melawat dengan warga emas, Daud Yusof dan isterinya, Normah Makmom pada Majlis Sembang Santai Anak Muda di Bilik Gerakan PDM Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2022.

Tambah Johari, beliau yang mempunyai pengalaman tinggal di kawasan flat turut berkongsi bagaimana keadaan sebenar dan berharap pembangunan di kawasan terlibat dapat dilaksanakan demi masa depan serta keselesaan penduduk setempat.

“Saya tahu macam mana. Saya budak bandar (Kuala Lumpur). Saya lahir di bandar, membesar dalam bandar. Dulu bandar Kuala Lumpur ini semua 80 peratus setinggan, semua dah dibangunkan menjadi seperti sekarang (mempunyai banyak kawasan rumah pangsa).

“Tetapi apabila sudah 65 tahun kita Merdeka, rumah seperti Flat Tun Razak sudah tidak sesuai dengan satu bilik tidur dan satu bilik air. Sebab itu saya menyokong pembangunan.

“Tetapi perlu ada pembangunan yang tidak menyebabkan masalah berbangkit akan datang, itu kita kena belajar daripada kesilapan sebelum ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Parlimen Titiwangsa dimenangi Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun pada PRU14 dengan majoriti 4,139 undi daripada penyandangnya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (19,701) dan Mohamad Noor Mohamad (6,845) dari PAS. – MalaysiaGazette