Pengarah KNDKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia(PDRM) memberikan jaminan  akan memastikan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam di semua lokasi penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijadual berlangsung esok.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PDRM, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 31,183 petugas yang terdiri daripada pegawai dan anggota telah  digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sebelum, semasa dan selepas proses penamaan calon.

“Selain 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform, PDRM juga akan menggerakkan aset unit dron bagi menjalankan pemantauan segala pergerakan untuk bertindak pantas jika berlaku sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Hazani menasihatkan semua pihak yang terlibat pada hari proses penamaan calon Sabtu ini memberi kerjasama kepada polis dalam mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi..

Tambah Hazani lagi, penamaan calon bagi PRU15 akan berlangsung pada jam 9 hingga 10 pagi melibatkan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

SPR kini dalam proses persiapan terakhir di setiap pusat penamaan calon dari segi penyediaan logistik bagi memastikan proses penamaan calon pagi esok berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Pada 10 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan undi awal pada 15 November ini manakala 19 November bagi tarikh PRU15. – MalaysiaGazette