mandat
Calon Barisan Nasional P.131 Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan jentera sebelum menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 bagi P.131 Rembau di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat BN Rembau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2022.

REMBAU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar rakyat memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu berkata, negara ini memerlukan kerajaan yang stabil seperti yang pernah dialami ketika di bawah pentadbiran BN dahulu.

Namun, katanya, selepas PRU-14, rakyat dapat menyaksikan kerajaan yang dibentuk adalah tidak stabil dan ternyata mereka gagal menguruskan negara dengan baik.

“Negara apabila diurus oleh kerajaan yang tidak stabil tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan, bahkan negara kita terencat pembangunan dan ekonomi dalam keadaan kurang baik ketika ini.

“Dalam PRU-15 ini, saya berharap dan berdoa supaya rakyat berfikir dengan baik supaya jangan ikut perasaan, jangan ikut emosi, jangan ikut cakap orang.

“Yang penting, pilihlah parti yang mempunyai rekod prestasi yang baik yang telah lama mentadbir dahulu di mana negara kita diurus dan ditadbir dan dibangunkan dengan amat baik sekali,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRU-15 bagi kerusi Parlimen Rembau di sini, hari ini.

Mohamad yang lebih mesra dengan gelaran Tok Mat akan bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha serta Nazree Yunus dari Perikatan Nasional (PN), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awaluddin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Timbalan Presiden UMNO itu juga berharap agar pengundi di kawasan Parlimen Rembau dan seluruh negara memberi kepercayaan kepada BN yang mempunyai pasukan yang berpengalaman dan berwibawa untuk menguruskan Malaysia ke tahap yang disegani di peringkat antarabangsa.

Berhubung pesaing-pesaing dari parti lawan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, setiap calon dan parti mempunyai kekuatan masing-masing.

“Saya minta supaya jentera BN jangan leka dan kita perlu urus gerak kerja kita sebaik yang mungkin. Santuni sebanyak mungkin pengundi di segenap pelosok kawasan dalam Parlimen Rembau,” jelasnya.

Ketua UMNO Bahagian Rembau itu turut menasihatkan jentera BN agar menjalankan gerak kerja kempen dengan teratur.

“Kita tak mahu mengusik sesiapa, yang pentingnya ialah tujuan kita mengadakan pilihan raya ini adalah untuk memilih parti yang diberikan mandat nanti oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast