SIMPANG RENGGAM – Kesemua calon yang bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam masing-masing telah pun tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Muafakat di sini, pagi ini.
Bermula dengan kehadiran penyandang kerusi Parlimen itu yang dicalonkan semula, Dr Maslee Malik Pakatan Harapan (PH) pada pukul 8.40 pagi, disusuli calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad yang tiba pukul 8.55 pagi.
Kedua-dua calon kemudiannya masuk ke PPC secara serentak selepas pengumuman pembukaan pusat itu pada pukul 9 pagi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Parlimen Simpang Renggam, Abdul Hakim Abdul Manap.
Dua lagi calon iaitu Mohd Fazrul Kamat mewakili Perikatan Nasional (PN) tiba di PPC berkenaan tepat pukul 9.05 pagi dan diikuti pula calon parti Pejuang, Kamal Kuskin yang tiba pukul 9.18 pagi.
Setakat ini tiada calon bebas dilihat menghantar borang pencaloan bagi kerusi parlimen tersebut.
Pusat penamaan itu akan ditutup pukul 10 pagi.
Maszlee akan ditentang Hasni yang juga merupakan Pengerusi BN Johor dan Ahali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.
Kerusi Parlimen Simpang Renggam menjadi milik PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pada PRU tersebut Maszlee mendapat jumlah undi majoriti sebanyak 3,475 apabila menewaskan pencabarnya Liang Tenck Meng (BN) dan Mohd Jubri Selamat daripada parti Pas.
Simpang Renggam merupakan salah satu daripada kerusi panas di Johor pada PRU kali ini selain Batu Pahat, Muar, Pagoh, Pulai, Kota Tinggi, Pontian dan Tanjung Piai. – MalaysiaGazette