SUNGAI BULOH – Pengundi-pengundi Sungai Buloh mengharapkan wakil rakyat yang akan memenangi kerusi Parlimen kawasan tersebut pada pilihan raya kali ini lebih mesra dan rapat dengan penduduk setempat.
Rata-rata mereka mahu layanan yang adil dan tidak ada jurang antara wakil rakyat dan penduduk.
Seorang warga emas, Rohani Mohd Syarif, 66, berkata, harapan itu diluahkan kerana berpendapat penduduk Melayu di kawasan ini tidak mendapat layanan setimpal.
“Kita mahu pemimpin yang boleh memainkan peranan mereka, bercakap dengan rakyat.
“Kena faham di sini majoriti orang Melayu, jadi jangan ada jurang. Kalau salurkan pertolongan dan bantuan kena sama rata,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Rohani berkata, dia gembira apabila Khairy Jamaluddin dicalonkan ke kawasan Parlimen Sungai Buloh dan menaruh harapan wakil daripada Barisan Nasional ini akan memberi layanan sama rata tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
Anak jati Kampung Paya Jaras Hilir, Nazri Nasir, 68, juga mengharapkan wakil rakyat yang baharu nanti mesra rakyat dan rajin turun padang bergaul dengan masyarakat.
”Kalau jadi (Khairy), kenalah rajin turun jumpa rakyat, hadir kenduri kahwin,” kata beliau yang berharap pemimpin baharu akan mewakili kawasan ini.
Dia yang menyambut baik pencalonan Khairy berkata, sebagai Menteri Kesihatan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu mempunyai peluang yang lebih untuk membangunkan Sungai Buloh.
”Mengenang jasa PH beberapa tahun tidak ada perubahan. “Jadi kita taruh harapan pada BN, tambahan pula dia Menteri Kesihatan.
“Pada saya tiada masalah pilih dia,” tambahnya.
Seorang lagi, Mohd Yasin Dulah, 80, mengakui penduduk kawasan itu telah membuat silap apabila memilih wakil rakyat pada PRU lalu kerana tiada pembangunan sewajarnya di sini.
”Tidak ada benda (pembaharuan), bazir kita buang undi saja.
“Sebagai wakil rakyat sepatutnya tahu tanggungjawab tapi lima tahun sekali sahaja kelihatan, kalau turun pun jumpa orang dia sahaja (penyokongnya sahaja),” katanya. – MalaysiaGazette