Khairy Jamaluddin Abu Bakar

SUNGAI BULOH – Faktor anak tempatan tidak lagi signifikan untuk dijadikan sentimen dan modal berkempen dalam memilih wakil rakyat.

Sebaliknya calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding merebut kerusi Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, faktor lebih relevan adalah memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

Katanya, dalam masa sama wakil rakyat yang dipilih perlu mampu membawa suara pengundi kepada peringkat lebih tinggi termasuk kerajaan negeri dan Dewan Rakyat.

Jelas beliau, kedudukannya dalam kerajaan merupakan platform terbaik untuk digunakan pengundi setempat untuk menyampaikan suara mereka.

“Bagi saya di kawasan bandar macam Sungai Buloh, ramai yang duduk di sini adalah daripada perantauan, macam-macam tempat.

“Rumah saya pun 15 minit dari sini. Jadi saya rasa faktor anak tempatan kalau dulu pentinglah tapi sekarang ini Datuk Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, Tun M pun bertanding di Langkawi, beliau bukan berasal daripada Langkawi. Jadi ia lebih kepada siapa yang dapat memberi perkhidmatan yang baik.

“Paling penting saya telah maklumkan kepada mereka (pengundi Sungai Buloh), Ahli Parlimen Sungai Buloh mestilah seorang wakil rakyat yang boleh menyampaikan suara mereka yang boleh bawa suara mereka ke Dewan Rakyat dan membawa suara mereka ke PBT dan kerajaan negeri.

“Ahli Parlimen mesti ada platform yang boleh memperjuangkan isu mereka. Jadi saya menawarkan platform saya, kalau saya cakap sesuatu mungkin akan dapat perhatian daripada kementerian, agensi, PBT, jadi saya menawarkan diri untuk menjadi juru hebah dan juru cakap bagi rakyat Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita Program Kacau Wajik Durian di Paya Jaras Tengah, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kawasan itu, Mohd Akmal Mohd Yusoff yang berkata, pengundi layak mendapatkan wakil rakyat tempatan yang faham isu setempat.

Mengulas lanjut Menteri Kesihatan itu berkata, beliau menerima banyak keluhan daripada pengundi Paya Jaras yang dilihatnya mampu dibawa ke peringkat lebih tertinggi sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen.

“Saya datang hari ini, macam-macam masalah disuarakan. Masalah tapak pasar malam, pembinaan masjid, status geran tanah dan sebagainya.

“Jadi mestilah mereka memerlukan seorang Parlimen yang bila dia bercakap, orang akan ambil perhatian. Saya janji saya akan gunakan suara saya dan harap bila saya bercakap pihak berkuasa akan bertindak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Khairy menyeru pengundi muda dan pertama kali di kawasan Sungai Buloh untuk menggunakan hak mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – MalaysiaGazette