Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.38 Triang, Yee Cheng Hwa (tiga kiri) bergambar kenangan dengan masyarakat orang asli yang hadir pada Program Moh Ngeteh sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Tuang, Triang, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.


BERA – Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dalam agenda Keluarga Malaysia.

Malah agenda pembangunan penduduk pribumi itu sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Ia terbukti dengan pelbagai inisiatif termasuk penambahan lebih RM30 juta kepada RM305 juta peruntukan kepada pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2023 berbanding tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak lagi pembangunan perlu dan akan dilakukan di perkampungan baharu Orang Asli terutamanya di Bera jika Barisan Nasional diberi mandat pada Pilihan Raya Ke 15 (PRU15).

Antaranya dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan usaha meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli.

Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.38 Triang, Yee Cheng Hwa (tiga kanan) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli yang hadir pada Program Moh Ngeteh sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Tuang, Triang, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

“Macam kampung di sini sudah besar, cantik dengan infra dan sebagainya. Tapi kadang-kadang mereka membina kampung yang baru. Kampung baru yang kedudukannya agak terpencil.

“Jadi itu yang menyebabkan banyak kampung baru yang kita kena bangunkan lagi daripada segi infra fokusnya,” kata Ismail Sabri yang juga menjadi calon Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada PRU15.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Tuang, Triang hari ini.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan Keluarga Malaysia juga  memberi fokus pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli.

“Di bawah MARA misalnya, ada program khas untuk menghantar anak-anak masyarakat Orang Asli ke luar negara dengan biasiswa penuh di mana sasaran kita minimum 10 orang setiap tahun,”jelasnya.

Justeru, katanya, agenda pendidikan merupakan perkara kedua fokus kerajaan manakala ketiga adalah dari segi meningkatkan pendapatan mereka.

Menurut Ismail Sabri, menerusi Bajet 2023 juga diperuntukkan dana khusus untuk membangunkan usahawan dalam kalangan belia masyarakat Orang Asli bagi tujuan tersebut.

“Peruntukan khas itu termasuk latihan kemahiran dan sebagainya diberikan. Jadi tiga fokus utama itu untuk kita bangunkan masyarakat Orang Asli,” tambahnya.

Ia katanya jauh beza berbanding ketika zaman pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) di mana JAKOA (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan dan akhirnya dipinggirkan.

“Fokus ketika itu sangat kurang untuk masyarakat Orang Asli. Bila kita mengambil alih ini, kita letakkan balik JAKOA di bawah KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) untuk bangunkan masyarakat Orang Asli,”katanya.

Sebelum ini, kerajaan bakal melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 penduduknya di Kemaman di Terengganu, Bera di Pahang dan Gua Musang di Kelantan.

Kerajaan juga akan mempergiatkan Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli menerusi Bajet 2023 yang telah diluluskan awal bulan lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast