Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media mengenai projek LCS, Undi18 dan calon Parlimen Sembrong di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan diingati kerana memecahkan beberapa rekod dalam sejarah negara ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kegagalan Muhyiddin kerana merupakan seorang Perdana Menteri yang paling pendek dalam sejarah negara iaitu 18 bulan.

Tambah beliau, PN pula ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang memesongkan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 demi jawatan dalam kerajaan.

“Hasilnya adalah sebuah Kerajaan Persekutuan yang tidak stabil kerana mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, Bersatu dan Pas tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.

“Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau mengulas tawaran manifesto PN yang diumumkan semalam yang disifatkan populis dan gula-gula pilihan raya.

Rafizi menambah, di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN, rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.

Jelas beliau, PN juga tidak berjaya menguruskan wabak Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36, 482 orang yang memuncak semasa PN mentadbir negara.

“Ini adalah rekod kematian yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara kita.

“Kegagalan menguruskan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak.

“Tempoh sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih dan #KitaJagaKita apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan beban golongan termiskin,” katanya.

Rafizi juga berkata, pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan darurat untuk kekal berkuasa.

“la satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.

“Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. INGAT MUNAFIK…MAKA INGAT PADA PKR ANWAR DAN RAFIZI SEKUTUNYA PANkhianat

    BN TERSUNGKUR PADA PRU 14 kerana RAMAI MENELAN BULAT2 KEMUNAFIKAN MEREKA

    DAPIG LANCARKAN TABUNG HARAM PAN untuk menampung hutang2 lapuk dan bangkrap negara yang didakwanya

Comments are closed.