Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat sebanyak 25 mata asas (bps) lagi kepada 3.00 peratus apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bermesyuarat kali pertama bagi 2023 pada 18 hingga 19 Jan depan.

Maybank IB menjelaskan OPR telah meningkat 100 bps kepada 2.75 peratus pada 2022.

“Pernyataan dasar monetari BNM mengulangi bahawa pendirian dasar monetari masih akomodatif, bukan berdasarkan sebarang ketetapan awal, bergantung kepada data dan pelarasan dasar monetari akan kekal diukur dan beransur-ansur.

“Sebagai makluman, BNM telah menilai tempoh OPR sebenar negatif dan perbezaan negatif di antara OPR dengan kadar dana Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada masa lepas,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Maybank IB menambah bahawa BNM telah mengekalkan pandangan bahawa ekonomi global menghadapi cabaran dan risiko negatif berikutan inflasi yang tinggi dan berterusan, keadaan kewangan yang lebih ketat, ketidaktentuan makro China serta kesan daripada ketegangan geopolitik.

Ini berbanding dengan keadaan ekonomi domestik yang lebih positif dan prospek didorong oleh permintaan dalam negara serta pasaran buruh dan pendapatan yang semakin bertambah baik, menurutnya.

“Permintaan luar yang lebih perlahan dan ketidaktentuan pasaran kewangan dan pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan Malaysia.

“Risiko negatif terhadap prospek pertumbuhan domestik termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah berbanding jangkaan; penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global dalam keadaan pengetatan dasar monetari yang lebih agresif di ekonomi-ekonomi utama; peningkatan konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk,” jelas Maybank IB.

Menurut bank pelaburan itu dalam konteks semasa mengenai kitaran kenaikan OPR semasa BNM — kenaikan 25 bps keempat berturut-turut bagi OPR pada mesyuarat MPC terakhir tahun ini — dan lebih kurang dua minggu sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) — menekankan kebebasan BNM dalam keputusan dasar monetarinya.- MalaysiaGazette