Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dengan tegas berterus-terang kepada pengundi-pengundi bahawa beliau langsung tidak berminat untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketelusan dalam bentuk penegasan itu perlu dibuat untuk mematikan segala tohmahan pembangkang yang dipercayai akan terus menjaja naratif ‘satu undi untuk BN, satu undi untuk Zahid’.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, naratif itu nampaknya menjadi strategi pembangkang sekarang kerana sasaran kepada Ahmad Zahid nampaknya mudah kerana Presiden UMNO itu dilihat liabiliti kepada parti kerana masih berdepan dengan kes mahkamah.

Bagaimanapun, menurut beliau, naratif ini mudah dikambus terus jika Ahmad Zahid tampil dengan satu penjelasan yang paling tegas.

“Ahmad Zahid kena sekali lagi berkata beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri, biarpun perkara ini sudah dijelaskan oleh Ahmad Zahid dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO, Barisan Nasional dan dimaklumkan kepada rakyat sekali pun.

“Kita tahu, Ahmad Zahid sudah pun menjelaskan beberapa kali dalam kenyataan tetapi untuk sekian kali beliau perlu bertegas untuk menolak naratif ini supaya ‘serangan’ pembangkang ini hancur,” kata Azmi kepada MalaysiaGazette.

Dr Azmi Hassan

Menurut beliau, walaupun logiknya pemilihan Perdana Menteri perlu dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong namun permainan persepsi ciptaan pembangkang ini efektif untuk mengelirukan rakyat.

Azmi tidak menolak naratif ‘satu undi untuk BN, satu undi untuk Zahid’ selepas pesaing-pesaing Barisan Nasional (BN) gagal memanipulasi isu-isu yang pernah dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

“Mereka cuba membesar-besarkan isu projek pembangunan kapal tempur pesisir (LCS) tetapi isu itu terencat. Mereka tak mampu untuk meneruskan isu kluster mahkamah sebab dalam kalangan mereka turut terpalit dengan kes mahkamah.

“Pusing-pusing, akhirnya terkena pada Zahid walaupun naratif itu tidak sepatutnya timbul,” ujarnya.

Mengulas taktik kempen pembangkang, Azmi mengakui beliau terkilan kerana pada tahun 2022 ini pembangkang masih merasakan rakyat atau pengundi-pengundi di negara ini masih naif.

“Sedangkan mereka lupa, rakyat sudah merasai semua pemerintahan gabungan parti-parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kita tak akan pernah lupa diperintah 22 bulan oleh Pakatan Harapan dan melalui krisis politik ketika pandemik.

“Sebab itu mereka masih berterusan menyerang peribadi pemimpin, memberi alasan musim tengkujuh sedangkan yang bertanding bukan calang-calang calon jika diambil kira tahap pendidikan dan pengalaman.

“Mereka ingat 100 peratus rakyat Malaysia begitu mudah dimanipulasi. Cara kempen masih ditahap lapuk,” jelas Azmi.

Katanya, pengundi sebenarnya mahu tahu apa pendekatan parti-parti politik untuk membina semula negara, apa strategi mereka untuk kembali mengukuhkan ekonomi Malaysia, apa yang mereka tawarkan kepada rakyat dan sebagainya.

“Bukan kempen yang bermain dengan manipulasi dan emosi rakyat,” ujarnya yang sungguh dukacita dengan situasi kempen PRU15.

Azizi Safar

Seorang lagi pemerhati politik, Azizi Safar turut menyeru Ahmad Zahid supaya menyatakan sekali lagi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri BN selepas PRU15.

”Zahid perlu nyatakan dengan tegas dia tidak mahu atau akan jadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti sekiranya Barisan Nasional menang cukup kerusi untuk tubuh Kerajaan Persekutuan walaupun sudah berkali-kali dinyatakan Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri kerana masih ada tohmahan dilemparkan.

”Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Zahid perlu sekali lagi nyatakan Ismail Sabri adalah satu-satunya calon Perdana Menteri dari BN selepas PRU15 nanti,” katanya yang mengulas isu yang sama.

Azizi juga percaya isu itu terus dimainkan pihak lawan BN kerana mereka tiada isu lain untuk serang kecuali mensasarkan kepada Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast