KUALA LUMPUR- Standard Chartered Bank Malaysia Bhd (StanChart) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar faedah sekali lagi pada Januari tahun 2023 sebanyak 25 mata asas (bps).
Bank pusat dijangka berhenti seketika melakukan penyelarasan pada Mac sebelum menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada bulan Mei.
Ini akan menjadikan kadar penamat OPR adalah 3.25 peratus.
StanChart dalam nota penyelidikan hari ini berkata, dalam persekitaran pemulihan ekonomi yang kukuh, inflasi masih meningkat walaupun ada pemberian subsidi.
“Gaji semakin meningkat walaupun tiada petunjuk sebarang perubahan harga barang susulan kenaikan gaji.
“Justeru, kami menaikkan unjuran penamat kepada 3.25 peratus berbanding 3.00 peratus sebelum ini.
“Namun, kami percaya bank pusat mungkin kekal pada kenaikan 25 mata asas walaupun pelaksanaan kenaikan kadar yang lebih agresif oleh beberapa bank pusat di negara lain,” katanya.
Tambahnya, kenaikan pada bulan Mei adalah berdasarkan kemungkinan berlaku perubahan subsidi pada separuh kedua 2023 yang memerlukan satu lagi kenaikan kadar faedah terutamanya jika permintaan dalam negeri kekal kukuh.
Ia adalah berdasarkan kepada kenyataan mengenai dasar monetari November yang terbaharu oleh bank pusat, memberi bayangan kepada kenaikan pada Januari.
BNM melihat risiko terhadap prospek inflasi 2023 dengan kecenderungan menaik.
Selain itu, ia berkata BNM mengekalkan pandangan optimis mengenai permintaan dalam negeri dan dasar monetari semasa adalah akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.- MalaysiaGazette