Foto Facebook Ramlan Askolani.

KUALA LUMPUR -Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Ramlan Askolani yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Lembah Pantai meminta pengundi kawasan itu untuk memberi sokongan kepada beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Setelah menggantung kasut tiga dekad lalu, beliau tetap lincah seperti dahulu namun melalui kerja-kerja kebajikan di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Pada PRU15, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai akan berdepan cabaran calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi terbabit, Fahmi Fadzil yang merupakan Ketua Penerangan PKR.

Menurut Ramlan, perjalanan politik beliau juga berliku apabila sanggup mengambil tanggung jawab sebagai Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai di saat BN hilang kuasa.

“Saya dengan rendah diri memohon sokongan penuh warga Lembah Pantai bagi PRU ke-15 kali ini.

“Saya bersama jentera BN Lembah Pantai akan menyantuni dan membantu segala yang terdaya. Kepada Allah SWT jua doa dipanjatkan, semoga setiap yang dirancang dan diusahakan dipermudahkan urusan oleh-Nya,” tulis di Facebook miliknya.

Selain Fahmi, Ramlan bakal berdepan dengan dua lagi calon iaitu Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional) dan Dr. Noor Asmah Mohd. Razalli (Pejuang).

Ketika zaman kegemilangannya dalam karier bola sepak, Ramlan, 61, pernah menjulang Piala Malaysia pada 1988-1989 bersama legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, Malek Awab dan V. Sundramoorthy.

Sewaktu bersama skuad kebangsaan, beliau pernah bermain untuk merebut Piala Merlion anjuran Singapura, Pestabola Merdeka, PraKelayakan Sukan Olimpik, Piala Asia, Piala Jakarta Raya dan Piala Sultan Brunei.

Ramlan juga pernah sepasukan dengan Dollah Salleh, Azizul Abu Hanifah, Abdul Karim Pin dan penjaga gol, Ahmad Sabri serta lagenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

– MalaysiaGazette