KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengumumkan manisfestonya selewat-lewatnya pada Jumaat ini, kata Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kata, intipati manifesto itu kini di peringkat akhir dan beliau sedang menyemak dan menelitinya untuk ditambah baik sebelum ia dilancarkan.
“InsyaAllah paling lewat pun hari Jumaat, mungkin besok kalau semua berjalan baik. Manifesto tak lari lebih kepada seperti biasa kita buat untuk rakyat Pahang, lebih kebajikan seperti yang kita lakukan dalam tempoh 54 bulan,” katanya selepas majlis Kenduri Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, di sini, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran.
Menurut Wan Rosdy, manifesto yang berdasarkan pembentangan Belanjawan Negeri 2023 itu mampu dilaksanakan kerana BN Pahang tidak menjanjikan bulan dan bintang.
“Pembentangan bajet menjadi akur janji, kerana dilulusakan jadi kena laksanakan dan buktikan, bukan kata baru nak buat atau lancarkan dan ianya sudah mempunyai peruntukan.
“(Manifesto) Lebih realisitik dan praktikal tidak menjanji bulan dan bintang,” ujarnya. – MalaysiaGazette