Kemeriahan hiasan bendera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kamung Melayu Subang, Sungai Buloh. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah memasuki hari kelima berkempen, perang bendera di Sungai Buloh masih lesu meskipun kawasan Parlimen ini cukup ‘panas’.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, perang poster dan bendera yang selalu memeriahkan suasana pilihan raya umum tahun-tahun sebelum ini masih belum terasa.

Disebabkan itu, Parlimen Sungai Buloh hanya ‘panas’ dengan kempen dua ‘seteru’ Khairy Jamaluddin dan R. Ramanan.

Penjelajahan wartawan Malaysia Gazette di sini mendapati paacakkan tiang bendera, banner atau gambar-gambar poster calon-calon parti yang bertanding sekadar ala kadar sahaja.

Setakat ini hanya tiga bendera parti yang kelihatan, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menonjol.

Itu pun masih dikira suam-suam kuku sahaja.

Bendera BN yang dipasang di Kamung Melayu Subang, Sungai Buloh. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

Parlimen Sungai Buloh ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Selain Khairy dari BN, kerusi ini turut direbut oleh Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA) dan Ahmad Jufliz Faiza (PRM).

Manakala dua lagi  calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri yang juga dikenali Sebagai Sifu Linda.

Meskipun tujuh orang berentap namun hanya tiga calon yang dilihat menonjol setakat ini berkempen iaitu Khairy, Ramanan dan Mohd Ghazali. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast