Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan gerak kerja yang dinamik dan strategik dalam usaha merintis teknologi masa hadapan.

Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berkata, selari itu UTeM berjaya mencapai pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurutnya, aspek kebolehpasaran graduan UTeM 2021 mencatatkan pencapaian tinggi apabila 91% graduannya  berjaya menempatkan diri dalam pelbagai sektor pekerjaan terutama syarikat swasta multinational dan tempatan.

“Kita kini berdepan dengan desakan era digitalisasi – Revolusi Industri 4.0. (IR 4.0), malah negara-negara maju juga sedang bersaing antara satu sama lain bagi mencapai fasa revolusi 5.0. Kita harus peka dan cakna kepesatan teknologi maju yang sedang berlaku.

“Bagi memenuhi kehendak ini, graduan UTeM mesti terus berusaha hingga berjaya untuk kekal kompetitif selain sentiasa menerokai ilmu-ilmu baharu yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada kualiti keperibadian diri para graduan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UTeM di Durian Tunggal, baru-baru ini.

Hadir sama, Pro Canselor UTeM, Datuk Dr Sabirin Ja’afar dan Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Halim Saad; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr Hasim Hasan serta Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.

Pada konvokesyen UTeM itu, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Dato’ Dr Mohd Nor Husain dianugerahkan Profesor Emeritus atas sumbangan dan pencapaian hebat beliau kepada universiti dan negara.

Pada majlis itu juga, Pengurus Besar STMicroelectronic Sdn. Bhd, Tan Chun Sheng menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan manakala Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab pula menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat.

Sebahagian daripada graduan UTeM sewaktu Majlis Konvokesyen Ke-18 UTeM di Durian Tunggal, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 3,149 graduan UTeM pelbagai bidang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah dan diploma masing-masing pada majlis yang berlangsung selama tiga hari.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin

Sementara itu, Dr Massila berkata, UTeM mewujudkan lima teras strategik (ST) dalam mencapai visi menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia.

Menurutnya, lima teras itu diyakini berupaya mengangkat UTeM di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi ‘menjajar universiti, melonjak ke hadapan’ yang diperkenalkan.

Katanya, lima teras itu ialah memperkasakan TVET, meluncur kerjaya; mempromosikan RICE, menjana pendapatan; menjuarai khidmat insani, mengundang kesejahteraan; mencetuskan ekosistem rancak, melestarikan universiti; dan mengembangkan nilai, menggamit kemakmuran.

“Lima teras ini telah dirangka dengan teliti dan mengambil kira segala aspek keperluan dan kepentingan, bagi memastikan masa depan universiti terus berdaya saing, relevan, menepati kehendak pemegang taruh dan lebih terserlah di peringkat negara mahupun antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette