KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengerang berkata, Johor telah kembali ke landasan menjadi sebuah negeri yang maju selepas parti itu mengambil alih negeri itu pada Mac lalu.
Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu memberitahu, Johor kini menjadi kerajaan yang stabil melalui Ikhtiar Johor yang diperkenalkan BN.
“Assalamualaikum & Salam Sejahtera Warga Pengerang, sudah tiba masa untuk kita terima hakikat bahawa kemelut politik yang tidak stabil dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah meninggalkan impak yang cukup besar.
“Alhamdulillah, sejak Barisan Nasional Johor kembali menerajui Kerajaan Negeri Johor pada 12hb Mac 2022, kita telah kembali ke landasan menjadi sebuah negeri yang maju dan stabil melalui Ikhtiar Johor. Kini, sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan meneruskan perjuangan ini,” tulis di Facebook miliknya.
Parlimen Pengerang menyaksikan perlawanan membabitkan tiga penjuru yang menyaksikan Azalina dicabar oleh Fairulnizar Rahmat dari Perikatan Nasional (PN) serta Che Zakaria Mohd Salleh dari Pakatan Harapan.
Azalina yang merupakan penyandang Parlimen Pengerang selama tiga penggal menambah, Ikhtiar Johor hanya akan menjadi satu realiti jika Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diterajui oleh Barisan Nasional.
“Saya memohon dalam PRU-15 ini, warga Pengerang untuk sekali lagi, mempercayai dan memberikan mandat kepada Barisan Nasional agar Kestabilan Politik tercapai, Demi Kemakmuran Pengerang yang tercinta,” katanya.
Sebelum ini dalam kempennya, Azalina mengajak warga Parlimen Pengerang kekal mengundinya dalam PRU15 bagi memastikan kawasan itu terus makmur menikmati limpahan pembangunan.
Menurutnya, pelbagai percubaan demi percubaan dilakukan oleh pihak pembangkang diawal pembangunan Projek Kompleks Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid), Pengerang, namun dapat ditangani BN. – MalaysiaGazette