KUALA LUMPUR – Memasuki hari keenam kempen, suasana malam di sekitar Parlimen Lembah Pantai meriah apabila penyokong serta ahli-ahli parti politik memasang bendera parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar di Kerinchi menyaksikan‘perang bendera’ khususnya membabitkan Pakatan Harapan (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang di pasang di tepi-tepi jalan.
Malah bukan sahaja bendera, poster, kain rentang dan banting juga menghangatkan suasana kempen di sini.
Malah, keadaan di bilik-bilik gerakan yang sudah dibuka juga sibuk dengan kakitangam jentera parti giat mengatur strategi dalam menarik sokongan pengundi dalam PRU15 pada 19 November ini.
Setakat ini, PH dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ceramah kelompok merupakan pendekatan yang sesuai untuk berkempen pada PRU15.
Jelas penyandang kerusi parlimen itu, ceramah tersebut juga telah lama dipraktikkan yang merupakan wadah untuk beliau mengenali warga Lembah Pantai dengan lebih dekat lagi.
“Ceramah kelompok juga satu peluang untuk para penduduk untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
“Minggu pertama kita mulakan dengan kecil dan Isnya-Allah kita kekalkan momentum sebelum membawakan sesi-sesi ceramah yang berskala besar sedikit,” katanya yang memulakan ceramah kelompok pertama malam tadi.
Pada masa sama kata Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, beliau juga memperkenal program Ziarah Kasih bagi meneliti masalah-masalah yang dihadapi warga Lembah Pantai.
“Tujuan program ini bukan sahaja untuk memberikan perhatian kepada kes-kes yang perlu ditangani secara spesifik, malahan ia juga selalu mengingatkan saya tentang tanggungjawab seorang pemimpin.
“Lawatan-lawatan yang diuruskan bersama rakan-rakan di Pusat Khidmat dan ketua-ketua zon melangkaui batas politik dan lebih menitikberatkan manusiawi dalam ketersediaan memberikan khidmat yang terbaik buat warga Lembah Pantai,” katanya.
Bagi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlan Askolani pula, beliau lebih selesa melakukan kempen secara walkabout untuk bertemu seramai pengundi di Parlimen itu dalam mendapatkan undi.
“Saya terus melangkah maju ke hadapan bertemu sesiapa sahaja di dalam kawasan Lembah Pantai dengan membawa aspirasi kestabilan dan kemakmuran yang menjadi agenda utama hasrat rakyat Malaysia sekarang.
“Insya Allah, saya akan cuba jumpa lebih ramai lagi pengundi dalam masa terdekat ini. Nantikan kehadiran saya di kawasan anda semua,” katanya yang juga merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia tahun 1980an.
Pada PRU15, selain Fahmi, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai itu akan berdepan cabaran dua lagi calon bertanding di kawasan tersebut adalah Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional) dan Dr Noor Asmah Mohd Razali dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada PRU14, kerusi Lembah Pantai dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Bersatu, Fauzi Abu Bakar
Fahmi mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi). – MalaysiaGazette