Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu, Datuk A. Kohilan Pillai akan menganggotai barisan Kabinet jika beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi dan Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Batu, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani berkata, perkara itu dijanjikan semasa beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampoh Doh, Bera.

“PM ada tanya saya bagaimana peluang BN dan Kohilan di Batu dan peluang untuk BN merampas kerusi itu kali ini, saya menjawab InsyaAllah semua jentera di Batu bertungkus lumus kerja kuat siang malam tanpa mengenal erti penat lelah untuk menangkan Kohilan dan merampas Batu dari pembangkang kali ini.

“Tetapi apa yang menarik ialah dia (PM) pesan dekat saya dengan syarat supaya tidak memberitahu Kohilan namun saya sekarang perlu mendedahkan di khalayak anda semua malam ini pelancaran manifesto Keluarga Batu.

“PM kata InsyaAllah kalau BN menang saya sebagai PM, jika Kohilan dapat menangkan kerusi Batu untuk BN, beliau (Kohilan) akan ada tempat dalam barisan Kabinet saya nanti,” katanya diiringi sorakan lebih 300 penyokong BN di Taman Bilion, Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.

Tambah beliau, jentera BN akan menggandakan kempen dengan menyantuni seramai mungkin pengundi di Batu bagi memastikan kemenangan Kohilan. – MalaysiaGazette