Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

JERANTUT – Kerajaan Pahang sedang mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum mengisytiharkan cuti pada 18 November ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri masih mendapatkan pandangan daripada sudut perundangan kerana Pahang masih di bawah kerajaan jagaan caretaker.

Menurutnya, hasrat kerajaan negeri memang selari dengan kerajaan Persekutuan untuk menetapkan cuti umum pada Jumaat depan bagi memberi laluan kepada pengundi sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Sebenarnya saya telah berbincang dengan penasihat undang-undang. Macam Selangor masih kerajaan negeri tapi di Pahang masih kerajaan sementara.

“Sama ada boleh mengisytiharkan atau tidak saya masih tunggu jawapan penasihat undang-undang negeri. Memang hasrat kerajaan negeri samakan dengan kerajaan Persekutuan.

“Cuma pengiystiharan akan dibuat pada masa terdekat,” katanya pada sidang media membuat tinjauan rumah contoh di tapak projek FELDA Sungai Retang hari ini.

Sebelum ini beberapa buah negeri terutama negeri yang Dewan Undangannya tidak dibubarkan telah mengumumkan cuti umum sehari sebelum hari mengundi pada 19 November ini.

Jelas Wan Rosdy, beliau akan mengumumkan perkara tersebut pada malam ini atau esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast