Penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah treler di Subang awal pagi tadi. -Ihsan IPD Subang.

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah treler dalam nahas di Kilometer 6.6, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, Subang Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku semasa treler dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun sedang menuju dari arah Shah Alam menuju ke KLIA.

“Tiba-tiba pemandu treler itu terdengar bunyi perlanggaran yang kuat di bahagian belakang kenderaannya

“Dia segera memberhentikan lori tersebut dan mendapati seorang penunggang motosikal sudah terjatuh di atas jalan raya di lorong perlahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 55 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya manakala kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette