Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Manifesto-manifesto yang ditawarkan oleh gabungan parti politik terbesar mempunyai persamaan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat.

Malah, ia turut mempunyai persamaan dalam usaha membawa negara keluar daripada kemelesetan ekonomi dan memberikan penumpuan kepada anak-anak muda, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“Perikatan Nasional (PN) memberi fokus kepada usaha membantu rakyat Malaysia dalam membina semula Malaysia menjadi negara yang bersih dan stabil.

“Barisan Nasional (BN) pula menampilkan manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia dalam memberikan mandat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil.

“Manakala, Pakatan Harapan (PH) pula berharap untuk membangunkan Malaysia yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan (madani),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, pihaknya berharap rakyat dapat menilai manifesto-manifesto yang ditawarkan dan melihat pengalaman ketiga-tiga gabungan parti politik itu dalam mentadbir negara, walaupun dalam tempoh yang singkat.

Ujarnya, ungkapan ‘manifesto bukan kitab suci’ wajar diimbau kembali agar rakyat tidak lupa akan pembohongan ahli politik selepas mendapat kuasa.

Namun beliau berkata, pihaknya ingin mengajak rakyat Malaysia semua untuk berhati-hati dengan manifesto yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara dan kerakyatan anak Malaysia.

“Antara manifesto PH adalah untuk membuat pindaan terhadap perkara 15(2) bagi menjamin kerakyatan kanak-kanak yang lahir di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“DPIM bersetuju sepenuhnya dengan cadangan ini di mana perkara 14(1) (b) dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan dilaksanakan pindaan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa dan memberi manfaat berpanjangan kepada anak tersebut.

“Namun begitu, PH juga ingin membuat pindaan terhadap undang-undang untuk membolehkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak angkat.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya, dan bukan sekadar ingin diletakkan di dalam manifesto populis. Apa akan jadi kiranya ada petualang yang menggunakan kewarganegaraan automatik untuk puluhan anak angkat mereka yang akhirnya menjadi perniagaan pemerdagangan manusia? soalnya.

Katanya lagi, akan wujud pula masalah lain seperti kesejahteraan kanak-kanak yang terancam akibat pelbagai ancaman seperti penderaan, gangguan seksual dan juga pengabaian terhadap anak angkat tersebut.

Justeru, beliau berharap agar PH tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat hingga menggadaikan kedaulatan negara dan kesejahteraan anak-anak. – MalaysiaGazette