KUALA SELANGOR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpuas hati dengan pertumbuhan ekonomi negara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai pertumbuhan 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun Tengku Zafrul mengakui masih banyak usaha perlu dilakukan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Saya berpuas hati tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk bantu ekonomi rakyat.

“KDNK 14.2 peratus ini bermakna banyak dasar yang dibuat semasa krisis Covid-19 adalah tepat dan telah membuahkan hasil.

“Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi kita meningkat 9.3 peratus, pertumbuhan sembilan bulan tertinggi sejak 2000, atau lebih dua dekad yang lalu,” katanya pada sidang media di Kampung Ijok, di sini, hari ini.

Terdahulu Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus mengumumkan KDNK bagi suku ketiga 2022 mencapai pertumbuhan 14.2 peratus, lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua 2022.

Tambahnya, pakej rangsangan dan sokongan semasa pandemik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM530 bilion terbukti berjaya membantu rakyat dan perniagaan tempatan.

“Ini tak termasuk Bajet 2021 dan 2022, yang bernilai keseluruhan lebih RM654 bilion.

“Bukan senang mengurus ekonomi waktu pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit.

“Kita laksanakan banyak dasar yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini, seperti moratorium bersasar dan pengeluaran KWSP,” jelasnya.

Tengku Zafrul mengakui beliau perlu mengimbangi keperluan antara menyelamatkan nyawa atau punca rezeki rakyat dan ekonomi.

“Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul.

“Kita perlu bekerja lebih keras sekarang untuk memastikan rakyat boleh hidup dengan lebih selesa, terutamanya apabila ekonomi dunia dijangka perlaham tahun depan,” katanya.

Katanya lagi, pertumbuhan KDNK suku ketiga 14.2 peratus ini adalah berita baik sebab maknanya perniagaan berkembang, dan kerja diwujudkan.

“Oleh kerana itu, pengangguran pun sudah kurang kepada 3.6 peratus pada September 2022 , kadar terendah sejak puncaknya semasa Covid-19 pada Mei 2020 sebanyak 5.3 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette