Maritim Malaysia, menahan sebuah kapal tangki di perairan Johor Timur pagi semalam.

KOTA TINGGI  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki di perairan Johor Timur.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki berdaftar dari Tanzania ditahan jam 11.40 pagi di kedudukan 9.1 batu nautika tenggara Tanjung Penawar pagi semalam.

Penahanan itu setelah didapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh ketika diperiksa.

Kapal yang dikendalikan 12 kru lelaki termasuk nakhoda warga Indonesia dan Myanmar berusia 24 hingga 62 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran / kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Penahanan ini menjadikan jumlah kapal dagang yang telah ditahan pada tahun ini sebanyak 54 buah atas kesalahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini. -MalaysiaGazette