Alexander Nanta Linggi

KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan siri ketiga dan terakhir Karnival Barangan Malaysia (KBM2022) bagi tahun 2022 di Perkarangan Kuching Waterfront, Sarawak bermula 11 hingga 13 November ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjangkakan KBM2022 di Kuching terus mendapat sokongan daripada pengusaha-pengusaha barangan tempatan dan pengunjung.

“Sebanyak 60 pempamer tempatan terlibat dalam karnival tiga hari ini itu dan pada masa sama Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) turut diadakan di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan.

Premier Negeri Sarawak, Tan Sri Abang Zohari Tun Openg merasmikan KBM2022 Edisi Borneo yang meliputi Sarawak, Sabah dan Labuan, hari ini.

Menurut Alexander, penganjuran KBM2022 yang bermula di Ipoh, Perak pada 30 September hingga 2 Oktober lalu dan di Johor Bahru pada 14 hingga 16 Oktober lepas merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan barangan Malaysia supaya menjadi pilihan utama kepada rakyat negara ini dalam membuat keputusan ketika berbelanja dan membeli belah.

Tambah beliau, KBM2022 juga merupakan usaha Kerajaan menggarap penyertaan usahawan di tiga wilayah ini secara inklusif dalam mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan Keluarga Malaysia terhadap barangan Malaysia.

Katanya, selain itu ia turut merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dan meningkatkan integrasi nasional seluruh rakyat Malaysia.

“Keberkesanan kempen ini dapat dilihat apabila rakyat memberikan keutamaan terhadap barangan Malaysia menerusi trend peningkatan jualan bermula tahun 2019 sehingga 2021 di mana pada tahun lepas mencatatkan sebanyak RM142 juta jualan dan 1,070,340 jumlah StockKeeping-Unit (SKU) melalui marketplace.

“Manakala rekod di pelbagai rangkaian hypermarket, pasaraya, kedai serbaneka dan kedai serbaneka di stesen minyak pula telah mencapai jualan sebanyak 173,239 SKU dan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM3.08 billion,” ujarnya.

Alexander berkata, KPDNHEP ingin menyeru agar Keluarga Malaysia mendukung pemulihan ekonomi negara dengan terus menyokong slogan ‘Juh Sapot Beli Barang Lokal’, ‘Jom Sokong dan Beli’ dan sentiasa membuat pilihan yang tepat dengan membeli serta memilih barangan Malaysia yang berkualiti dan setanding dengan produk-produk antarabangsa.

Katanya, impak berbelanja secara berhemah dengan pilihan yang tepat mengikut keperluan akan menyebabkan kitaran ekonomi kembali aktif dan melimpah dalam manfaat kepada negara dan rakyat dalam memastikan wang negara tidak mengalir ke luar negara dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sentiasa terjamin.

Sementara itu, Alexander memberitahu, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan JMKM di 344 lokasi meliputi semua 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dari 15 Ogos sehingga 31 Oktober lalu.

“Jumlah pengunjung dianggarkan seramai 309,600 orang dengan jualan mencecah RM10.7 juta.

“Maklum balas orang ramai amat menyambut baik dan meminta JMKM ini diteruskan secara berkala serta mengakui bahawa harga yang ditawarkan lebih murah dan dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini,” ujarnya.

Alexander berkata, pihaknya berharap agar Keluarga Malaysia dapat turun beramai-ramai ke KBM2022 dan JMKM di Waterfront Kuching dalam memeriahkan lagi karnival itu disamping menyokong produk-produk usahawan tempatan dan secara tidak langsung dapat memulihkan kembali ekonomi negara. – MalaysiaGazette