Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bersama Bendahari Agung Barisan Nasional yang juga calon Barisan Nasional P.153 Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika hadir pada Program Sepetang Bersama Pemimpin Masyarakat Sungai Buloh di Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin Khairy Jamaluddin mampu menjadi ‘game changer” (perubahan) di Sungai Buloh.

Jelas beliau, sekiranya Khairy berjaya menawan kawasan berkenaan pada pilihan raya kali ini, ia dalam masa yang sama akan melonjakkan prestasi BN yang berani bertanding di kawasan bandar.

Dalam masa yang sama Hishammuddin berkata, pengundi juga bakal merasai perubahan positif jika memilih Khairy berdasarkan prestasinya yang tidak dapat dinafikan mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Hishammuddin berkata,  ‘game changer’  dalam landskap politik yang sentiasa berubah-ubah mampu memberi impak positif kepada minat anak muda.

“Kalau kita  tidak buat perubahan, orang ramai di luar sana letih dengan ketepuan politik. Dalam kalangan anak-anak muda kita akhirnya tidak akan minat mengikuti perkembangan semasa.

“Apa yang kita nak tengok perubahan dengan suntikan-suntikan tertentu untuk memastikan BN tetap relevan kepada semua di luar sana tidak kira tua muda, kaya dan miskin,” katanya kepada pemberita.

Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama komuniti penduduk sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh ketika hadir pada Program Sepetang Bersama Pemimpin Masyarakat Sungai Buloh di Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 NOVEMBER 2022.

Terdahulu beliau dan Khairy hadir dalam majlis ramah mesra bersama pengundi di Bandar Baru Sungai Buloh.

Dalam ucapan beliau, Menteri Kanan Pertahanan berkenaan menyifatkan Khairy sebagai pemimpin muda yang telah banyak melalui cabaran dan terbukti mampu menjalankan tugasnya dengan baik sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Beliau dalam masa yang sama turut memberi jaminan akan membantu Khairy memastikan semua ‘Kata Janji’ untuk kawasan berkenaan dijadikan kenyataan.

“Saya mahu beritahu anda semua, banyak sumbangan Khairy membantu saya sebagai Pengerusi Quartet Menteri. Beliau tidak berkompromi soal kesihatan.

“Nak cari isu perkauman untuk tanam kebencian memang mudah, tuding jari kepada orang lain memang mudah sehingga memecah-belahkan, menabur fitnah di kalangan masyarakat sehingga kita (BN) menjadi mangsa kalah 2018,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairy ketika menyampaikan ucapan memberi jaminan akan mentadbir Sungai Buloh melalui semangat dan pengalamannya mengurus Covid-19 sekali gus mengeluarkan Malaysia daripada pandemik.

Khairy Jamaluddin bersama Hishammuddin Hussein ketika hadir pada Program Sepetang Bersama Pemimpin Masyarakat Sungai Buloh di Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 NOVEMBER 2022.

Katanya, percaturan BN meletakkan calon dengan latar belakang dalam kerajaan menterjemahkan komitmen BN memberikan khidmat baik kepada rakyat.

“Biasanya BN tidak akan ‘hantar’ pemimpin ‘federal’ (Persekutuan) di Sungai Buloh tetapi lepas berbincang dengan pelbagai pihak, saya ambil risiko untuk bertanding di sini. Begitu juga Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (yang bertanding) di Kuala Selangor.

“Saya mahu berkhidmat kepada anda semua dan akan lakukan terbaik. Sama ada (golongan) B40, M40 atau pelbagai kategori lain, semuanya saya akan curahkan khidmat bakti kepada Sungai Buloh. Ini bukan janji kosong,” beliau berkata.

Dalam pada itu Khairy yang juga Menteri Kesihatan mengakui sudah mula jatuh hati dengan Sungai Buloh meskipun baru seminggu berkempen.

Beliau juga komited untuk bekerja kepada rakyat dengan segera khususnya menyelesaikan isu setempat yang telah dibangkitkan kepadanya dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

“Saya sudah mula merasai angin perubahan di Sungai Buloh, biarpun baru berkempen tujuh hari di sini. Saya sudah mula jatuh cinta pada Sungai Buloh dan tak sabar mahu jadi wakil rakyat anda semua. Kalau boleh nak mula berkhidmat hari ini.

“Saya mahu jadi Ahli Parlimen yang bawa perubahan kepada Sungai Buloh. Seminggu saya dengar rintihan mengenai masalah dihadapi penduduk yang tak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri dan wakil rakyat sedia ada.

“Sudah tiga kali penggal ‘merah’ (Pakatan Harapan) jaga tetapi banyak masalah tak diselesaikan, sebab itu kali ini kita mesti bawa perubahan kepada Sungai Buloh. Berilah peluang kepada  KJ (Khairy) di sini,” katanya.-MalaysiaGazette