Calon Barisan Nasional N.08 Dong, Fadzli Mohamad Kamal (tengah) bergambar kenangan dengan masyarakat orang asli ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Pasu, Raub, Pahang.Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

RAUB – Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tujuh hari lagi, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal optimis dengan ‘mood’ serta penerimaan masyarakat di sini terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau tidak duduk selesa dan hanya mengharap sokongan yang dipamer itu kekal sehingga hari mengundi 19 November ini.

“Alhamdulillah, setakat ini dapat sambutan yang cukup baik daripada warga Dong, walaupun saya muka baharu,” kata Ketua Pemuda UMNO Raub itu.

Fadzli Mohamad Kamal bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Pasu, Raub, Pahang.Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

Fadzli mengakui telah membuat persediaan awal mengatur gerak kerja kempen melalui semua platform media sosialnya dan langkah itu dilihat lebih efektif terutama dalam usaha mendekati pengundi atas pagar.

Meskipun muka baharu di Dong tetapi pengalaman berkhidmat selama 15 tahun sebagai Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pertahanan dahulu memberinya sedikit kelebihan berbanding dua calon lain yang bertanding di situ.

“Jaringan itu banyak membantu saya bertemu dengan orang ramai. Dan kerana saya juga bertugas dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Setiausaha Akhbar, saya banyak belajar bagaimana nak berhadapan dengan rakyat. Berdamping dengan isu-isu rakyat, keluhan rakyat.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Pasu, di sini hari ini.

Fadzli Mohamad Kamal beramah mesra dengan masyarakat orang asli ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Pasu, Raub, Pahang.Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

Fadzli berkata, selain kempen secara aktif di media sosial, beliau akan terus mempergiat usaha menemui seramai mungkin warga Dong terutamanya pengundi yang akan mengundi buat pertama kali.

“Kepada para pengundi yang berada di Dong ini, saya menyeru supaya buat pilihan tepat, pilihlah kemakmuran dan kestabilan. Tapi kena ingat, soal memilih wakil rakyat ni bukan main-main,” katanya.

Fadzli merupakan antara 27 calon muka baharu yang diumumkan BN Pahang bertanding kerusi DUN pada PRU15 kali ini.

Beliau yang menggantikan penyandang kerusi Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin bakal ditentang Mohd Abdul Jawaad Abd Ghafar @ Razmin (PH) dan Tengku Shah Amir Tengku Perang (PN).-MalaysiaGazette