Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memindahkan mangsa banjir di Kampung Serongga, Rantau Panjang. - Gambar ihsan APAM

RANTAU PANJANG – Mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan semakin bertambah sehingga jam 3 petang tadi.Daripada 978 mangsa yang direkodkan malam tadi, bertambah kepada 1,279 orang melibatkan 436 keluarga hari ini.

Menurut Info Banjir Kelantan, seramai 301 mangsa dari kawasan yang dilanda banjir sekitar Gual Periok dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok.

Ini menjadikan enam PPS dibuka, berbanding lima PPS malam tadi bagi menempatkan 1,279 mangsa.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dikerahkan untuk membantu memindahkan keluarga yang terperangkap banjir.

Anggota APAM turun ke kawasan yang dinaiki air di sekitar Rantau Panjang untuk memindahkan mangsa.

PPS itu ialah SK Tok Deh sebanyak 203 keluarga dengan 629 mangsa, SK Kubang Kual (50 keluarga, 122 mangsa), Madrasah Putat Tujuh (39/95), SK Sri Kiambang (48/142), Masjid Mukim Padang Lichin (10/36) dan terbaharu SK Gual Periok (86/255).

Sementara itu, paras air di beberapa tempat menyukat banjir di pekan Rantau Panjang menunjukkan semakin surut, tetapi masih melepasi paras bahaya.

Paras air di Sungai Golok Rantau Panjang sehingga jam 3 petang ini ialah 9.78 meter melebihi paras bahaya (bahaya 9 meter).

Paras air Sungai Golok di Kampung Kuala Jambu pula sudah menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 1.76 meter (berjaga-jaga 2 meter).

Berikutan itu juga, tiga jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Pengkalan Rakit – Batu Karang di KM 3 – 3.5, Jalan SK Gual Tok Deh di KM 0.05 – 0.90 dan Jalan Tok Deh ke Gua Periok di KM 0.3-1.0.

Manakala Jalan Panglima Bayu – Rantau Panjang – Jeram Perdah di KM 31 – 33 telah dibuka kepada semua kenderaan. – MalaysiaGazette