Penyokong mengibarkan bendera BN selepas melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Padang Permainan Meru Jaya, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Meskipun ada sesetengah pihak menjangkakan tidak akan ada parti  dominan mampu membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini, namun  Dr Jeniri Amir  melihat Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan berbanding yang lain.

Menurutnya, kelebihan ada pada Barisan Nasional (BN) kerana gabungan parti daripada Sabah dan Sarawak iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat cenderung menyokong komponen itu.

Jeniri Amir

“Mana-mana parti gabungan yang bertanding perlu mendapat dukungan parti daripada Sabah dan Sarawak yang akan bertindak sebagai ‘king maker’.

“Saya melihat, BN punyai kelebihan kerana kedua-dua gabungan di dua negeri ini  menyokong BN berbanding Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan janji sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Walau bagaimanapun katanya, mana-mana parti yang bertanding masih mempunyai masa lebih kurang lima hari untuk berusaha meraih sokongan khususnya kumpulan pengundi atas pagar.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu menambah, jentera parti perlu digembeleng sehabis baik untuk meyakinkan kumpulan ini menerusi pelbagai platform sama ada di media sosial atau secara bersemuka.

Selain itu tambah beliau, cara parti menangkis dan menjawab isu semasa dengan berkesan turut menjadi faktor kepada sokongan pengundi pada waktu-waktu terakhir berkempen.

Keupayaan dan kemampuan ini menuntut pemikir dan strategis menggunakan pelbagai pendekatan masa ada secara semuka atau media sosial, walaupun sentuhan peribadi itu lebih berkesan terhadap bertindak balas isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan. – MalaysiaGazette