Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sany Abdullah Sany bercakap kepada media selepas selesai membuang undi pada Hari Pengundian Awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 November 2022.

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di semua lebuh raya di seluruh negara dijangka sesak dan akan mencatatkan peningkatan kenderaan bermula pada malam khamis ini.

Pertambahan trafik ini ekoran orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung  bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pengumuman cuti pelepasan am oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk 18 dan 19 November ini memberi peluang kepada rakyat bergerak awal ke kampung masing-masing untuk mengundi.

Bagaimanapun, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah membuat persediaan dan penugasan rapi bagi menghadapi keadaan trafik yang tinggi.

“PDRM tidak akan menghadapi masalah dalam menguruskan kesesakan trafik memandangkan mempunyai pengalaman menguruskan kesesakan trafik pada musim perayaan sebelum ini.

“PRU-15 kali ini tidak ada bezanya dengan sebelum ini. Pesan saya kepada semua pengundi yang berhasrat untuk pulang ke kampung, atur pergerakan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengundi awal di Dewan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Bukit Aman hari ini menyaksikan lebih 7,000 pegawai dan anggota PDRM Bukit Aman menunaikan tanggungjawab mereka bermula jam 8 pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Acryl menasihatkan rakyat agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kesesakan.

“Bertimbang rasa terhadap keselamatan pengguna lain,” tambah beliau. – MalaysiaGazette